Covid-19 telah menjejaskan banyak sektor sama ada dalam perniagaan, perindustrian dan tidak kurang juga dalam bidang hartanah. Pakar-pakar hartanah melaporkan transaksi dalam pembelian hartanah agak berkurang bagi pasaran hartanah yang bernilai RM400,000 ke atas berbanding tahun-tahun lepas terutamanya zaman Covid-19. Hartanah berbentuk apartment studio, banglo dan semi-d banyak yang tidak terjual terutamanya di kawasan Lembah Klang.
Walau bagaimanapun, transaksi hartanah bagi harga RM100,000 hingga RM300,000 samada hartanah baru, hartanah pasaran subsale dan juga lelong telah menunjukkan peningkatan. Rata-ratanya, hartanah sekitar harga ini adalah apartment kos rendah, kos sederhana atau rumah teres. Hartanah-hartanah seperti ini adalah sangat sesuai bagi golongan pelajar, pasangan yang baru berkahwin, ataupun keluarga kecil bahkan ada juga yang excited untuk menjadikannya sebagai homestay atau AirBnb.
Bagi yang tengah sakan planning nak melabur dalam hartanah, hartanah seperti ini sangat sesuai untuk dijadikan aset pelaburan. Harganya masih lagi boleh di-cover oleh kos sewaan nanti; sama ada sewaan secara bulanan atau harian (melalui sewaan AirBnb atau homestay). Tambah-tambah lagi, ada ura-ura yang Bank Negara Malaysia ingin menurunkan lagi kadar OPR pada tahun 2021 sekaligus menjadikan bayaran bulanan kita dalam hartanah semakin MURAH. Dalam beberapa tahun akan datang, apabila pandemik Covid-19 dapat dikawal, dijangkakan permintaan sewaaan untuk hartanah ni akan menjadi lebih tinggi apabila ekonomi semakin pulih. Kenapa? Para pelajar sudah mula kembali ke universiti, sektor pelancongan semakin pulih, dan pelbagai perniagaan juga boleh mula beroperasi.
Namun, bagi anda yang nak melabur dalam hartanah buat pertama kali, pastikan anda mencari hartanah yang sesuai dengan kemampuan kewangan anda. Pastikan anda pergi ke bank untuk lihat berapa loan rumah yang boleh di-approve berdasarkan gaji atau komitmen anda. Kemudian carilah rumah berdasarkan kawasan yang sesuai dan menjadi tumpuan orang ramai. Contohnya, kita lihat seperti di Manhattan Condominium yang terletak di Ipoh. Dengan harga untuk bumiputera yang bernilai RM238,000 dan terletak di Pusat Bandaraya Ipoh, ianya sesuai untuk disewakan pada pasangan muda, dan keluarga kecil. Tambahan lagi, dengan fasiliti ala resort, ia juga boleh dijadikan homestay/AirBnB untuk kaki-kaki travel. Ipoh, seperti umum ketahui, telah menjadi tumpuan pelancong bagi nilai sejarahnya, hipster dan keindahan alam semulajadi.
Harus diingat pula, dalam apa-apa pelaburan, anda perlu ada strategi jalan keluar jika pelaburan itu tidak mendatangkan keuntungan seperti yang dijangkakan. Sama juga lah bagi pelaburan hartanah. Dalam hartanah, anda perlu buat beberapa rancangan. Contoh, plan asal rumah itu ingin dijadikan sebagai homestay. Kalau plan ini tak jadi, anda perlu ada plan kedua atau ketiga samada ingin sewakan pada keluarga secara bulanan, kepada pelajar atau anda duduk sendiri. Kalau semua ini tak menjadi juga, anda perlu pastikan secepat mana anda boleh jualkan hartanah ini bagi mengurangkan kadar kerugian anda. Jadi, pastikan anda merancang pelaburan hartanah sebaik-baiknya. Dapatkan khidmat nasihat dari perancang kewangan atau pakar hartanah bagi mendapatkan nasihat yang sebaiknya. Pelaburan hartanah memakan masa yang panjang dan tidak menjanjikan keuntungan dalam tempoh masa yang singkat. Ia merupakan komitmen yang agak panjang sebenarnya.
Apa-apapun, sekarang adalah masa yang sangat sesuai untuk melabur dalam hartanah. Namun, ianya perlu diiringi dengan ilmu, strategi, masa dan kemampuan yang sesuai dengan anda kerana bagi setiap individu, lain-lain pula kemampuannya.
Oleh Muhamad Dzul Ikram Bin Mohd Yusof Penulis merupakan seorang Perancang Kewangan dan Harta Pusaka/Wasiat bagi HM Group. Bagi mendapatkan khidmat nasihat dalam kewangan, perlindungan dan pengurusan harta pusaka/wasiat, boleh hubungi beliau di 017-5278074.